Pemain baru Johor DT Leonel Jorge Nunez
Dari kiri, Mohd. Farid, Muhammad Nazri, Leonel Jorge Nunez, Andre Francisco William serta Jasazrin |
Bekas pemain Argentinos Juniors berusia 29 tahun itu mengikat kontrak dengan jumlah gaji yang tidak didedahkan bersama pasukan tersebut dan bakal beraksi sehingga akhir musim ini menggantikan tempat Daniel Guiza.
Nunez yang berasal dari Buenos Aires diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dalam satu majlis di Stadium Tan Sri Hassan Yunos dekat sini, semalam.
Pemain yang mempunyai ketinggian 1.83 meter itu pernah beraksi bersama pasukan Olympiacos, Independiente serta Bursaspor.
Selain Nunez, PBNJ turut memperkenalkan empat pemain baharu iaitu Andre Francisco Da Silva (tengah), Mohd. Farid Ramli (pertahanan), Muhammad Nazri Ahmad (pertahanan) dan Jasazrin Jamaluddin (tengah).
Kempat-empat pemain yang beraksi bersama pasukan Johor dalam saingan Liga Perdana sebelum ini sudah membuat penampilan pertama dengan Johor Darul Takzim ketika menentang Terengganu 12 April lalu yang menyaksikan pasukan itu menang 1-0.
Pengumuman pengambilan Andre dan Nunez itu sekali gus melengkapkan kuota pemain import pasukan Johor Darul Takzim.
Timbalan Presiden PBNJ, Datuk Obet Tawil berkata, jika semua berjalan lancar termasuk urusan sijil perpindahan antarabangsa (ITC), Nunez bakal diturunkan untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Selangor 16 April ini.
"Pihak PBNJ berharap kehadiran kelima-lima pemain baharu itu dapat memperkukuhkan lagi pasukan dalam segenap aspek sekali gus mempertingkatkan lagi mutu persembahan Johor Darul Takzim dalam usaha memburu kemenangan musim ini," katanya.