ABPBH Milik Shaheizy Sam

GENTING HIGHLANDS: Pelakon utama filem Adnan Sempit dan Ngangkung, Shaheizy Sam mencipta sejarah apabila muncul pelakon lelaki ketiga dipilih untuk gelaran Bintang Paling Popular apabila mengungguli hadiah tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, di sini sebentar tadi.

Shaheizy, 29, meraih 126,168 undi memenangi gelaran itu selepas mengetepikan saingan empat artis lain yang mendapat undi tertinggi, iaitu Shahir, Zizan, Aznil Nawawi dan Faizal Tahir.
Beliau turut memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM310,000, iaitu kenderaan Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000 hadiah iringan dan trofi.
Shaheizy juga memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.

Trofi Bintang Paling Popular disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang pada majlis kemuncak ABPBH 2010 di Arena of Stars, di sini bertemakan Moden & Klasik dengan disaksi lebih 5,000 penonton.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid.

Majlis gilang-gemilang lebih dua jam setengah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3, stesen radio Hot FM dan laman web rasmi, NSTP e-media.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada seniwati veteran, Datuk Rosnani Jamil, 75, sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang perfileman tanah air selama hampir 60 tahun.

Lisa Surihani mencipta kemenangan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, sementara Faizal Tahir menepati ramalan apabila menggondol gelaran Penyanyi Lelaki Popular.

Yuna mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular. Kategori berkenaan sebelumnya disandang 13 kali oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular dimenangi kumpulan Sixth Sense, manakala Rabbani terus mempertahankan gelaran Penyanyi Nasyid Popular buat kali kesembilan.

Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular, masing-masing dimenangi Remy Ishak dan Fasha Sandha.

Juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir, memenangi Artis Baru Lelaki Popular, manakala, Ana Raffali meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular.

Pelakon drama, Norkhiriah pula buat kali ketiga mengekalkan gelaran Artis Komedi Wanita Popular, manakala Zizan memenangi Artis Komedi Lelaki Popular.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing dimenangi Faizal Ismail dan Fara Fauzana dari stesen Hot FM. Fara juga berjaya mengekalkan kemenangannya sebagai Pengacara TV Wanita Popular.

Aznil Nawawi berjaya mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular buat kali kesembilan.

ABPBH 2010 ialah edisi ke-24 anjuran Berita Harian adalah acara pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar ini dan SMS untuk artis dan selebriti tanah air dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran.
DKopi dari Edisi Berita Harian 4 April 2011
Ditulis oleh Royzam

Catatan popular daripada blog ini

Semut Gergasi

New Nikon DSLR D5100