Zulfahmi naik podium Malaysia Granprix 2012
GEMBIRA...(dari kiri) Zulfahmi, Cortese dan Folger ketika di podium semalam.
Jika tidak kerana kesilapan ketika dua selekoh terakhir menuju ke garisan penamat yang memberi ruang kepada pelumba Red Bull KTM Ajo, Sandro Cortese memintas untuk memenangi perlumbaan itu, Zulfahmi sudah pasti menikmati kejayaan lebih manis di depan penyokong sendiri.
Namun tempat kedua dengan catatan 40 minit 54.151 saat sudah memadai buat pelumba AirAsia SIC Ajo itu untuk mencuri tumpuan 77,000 penonton yang hadir di SIC untuk menyaksikan saingan itu.
Pada perlumbaan itu, Zulfahmi yang bermula di petak pertama, bagaimanapun ketinggalan seawal pusingan pertama selepas Jonas Folger memotongnya dan memimpin saingan sehinggalah pertengahan perlumbaan.
Namun di pusingan ke-11, pelumba dari Banting, Selangor itu memotong Folger dan memimpin saingan sehingga pusingan terakhir tapi Cortese yang sudah mengesahkan kejuaraan dunia bagi kelas Moto3 hasil kemenangan semalam, memintasnya pada dua selekoh terakhir itu.
“Saya melakukan kesilapan di dua selekoh terakhir itu dan ia membenarkan Cortese untuk memintas saya. “Saya cuba untuk berada semula di depan pada selekoh terakhir tapi saya terlewat menekan brek. Kami bergesel sedikit dan saya kemudian memutuskan tempat kedua lebih baik daripada terjatuh.
Cortese yang juga rakan sepasukan Zulfahmi, memenangi perlumbaan sekali gus muncul juara dunia dengan pungutan 280 mata manakala tempat ketiga milik Folger. Cortese mencatat 40:54.123s manakala Folger, 40:54.370s.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/22