Peraturan Baru Peniaga Dalam Talian (Online) Berkuat Kuasa 1 Julai 2013

Mulai 1 Julai ini, semua perniagaan dan perkhidmatan dalam talian perlu mematuhi peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 bagi menjamin kepentingan kepenggunaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peraturan itu penting memandangkan seramai 1.1 juta rakyat negara ini menjalankan urusniaga dalam talian (perdagangan elektronik) dengan nilai perniagaan sebanyak RM1.8 bilion pada 2010 dan dijangka meningkat kepada RM5 bilion menjelang 2014.

Beliau berkata sektor perjalanan menyumbang RM435 juta (24 peratus), pembayaran bil RM329 juta (18 peratus), hiburan dan gaya hidup RM255 juta (14 peratus), IT dan elektronik RM218 juta (12 peratus), insurans am RM205 juta (11 peratus), fesyen dan kecantikan RM181 juta (10 peratus) serta hadiah dan cenderahati RM68 juta (4 peratus).

"Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada 2009 menunjukkan 67 peratus pengguna internet berumur kalangan 11 hingga 39 tahun. Jelas ramai kini membeli-belah dalam talian, justeru langkah keselamatan menjamin kepentingan pengguna penting," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Beliau berkata mengikut statistik terkini Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), terdapat 600 syarikat dalam talian berstatus sendirian berhad dan 16,405 perniagaan berstatus perusahaan didaftarkan.

Begitu juga, katanya, kes penipuan melibatkan transaksi elektronik semakin meningkat ke satu paras yang amat membimbangkan berikutan tiada kawal selia khusus ke atas perniagaan berasaskan kaedah ini.

Ismail Sabri berkata menurut statistik Polis Diraja Malaysia, jumlah kes penipuan melibatkan transaksi dalam talian yang dilaporkan pada 2011 meningkat kepada 1,879 kes berbanding 551 kes pada 2009.

Beliau berkata kementeriannya menerima 213 kes penipuan dengan 32 kes dihadapkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (bagi amaun tidak melebihi RM25,000) membabitkan penipuan dalam urusniaga talian pada 2012.

"Jadi peraturan ini diperkenalkan untuk meningkatkan keyakinan pengguna untuk menjalankan transaksi secara elektronik dengan memberi perlindungan menyeluruh dan sekali gus membangunkan perdagangan elektronik di Malaysia," katanya.

Antara perkara yang perlu dipatuhi web perniagaan di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna 2012 ialah nama perniagaan, nama syarikat dan nama orang yang menjalankan perniagaan; nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat; alamat e-mail dan premis dan nombor telefon; dan butiran mengenai ciri utama barang atau perkhidmatan.

Seterusnya, harga penuh barang atau perkhidmatan termasuk kos pengangkutan, cukai dan kos-kos lain; kaedah pembayaran; terma-terma syarat; anggaran masa penghantaran atau perkhidmatan kepada pembeli.

Ismail Sabri berkata peniaga dikehendaki menyediakan cara sesuai bagi membolehkan pembeli membetulkan sebarang kesilapan sebelum mengesahkan pesanan dan hendak mengaku terima pesanan kepada pembeli tanpa kelengahan tidak wajar.

Jelas beliau kegagalan mematuhi peraturan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.

Selain itu, pertubuhan perbadanan yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya boleh didenda tidak melebihi RM200,000.

Beliau berkata bagi kesalahan yang berterusan boleh dikenakan tambahan denda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

"Kesalahan itu juga boleh dikompaun tidak melebihi 50 peratus jumlah maksimum denda yang dinyatakan sebelum ini," katanya.

Jelasnya peraturan itu terpakai kepada orang yang menjalankan perniagaan membekalkan barang atau perkhidmatan melalui tapak web atau pasar dalam talian termasuk media sosial seperti Face Book dan pengendalian pasar dalam talian.

Orang ramai dinasihatkan mendapat panduan menjalankan transaksi elektronik melalui http://www.kpdnkk.gov.my.

Pasar dalam talian adalah tapak web di mana barang atau perkhidmatan dipasarkan oleh pihak ketiga bagi maksud perdagangan manakala pengendali pasar dalam talian bererti seseorang yang menyediakan pasar dalam talian contohnya mudah.my atau lelong.com.my

Dipetik daripada Bernama, 20/2/2013

Catatan popular daripada blog ini

Semut Gergasi

New Nikon DSLR D5100